• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kluster Berkait Ziarah Raya Merebak Ke Tiga Kampung

HULU TERENGGANU, 7 Jun - Kluster Kampung (kg) Matang menjadi kluster terbesar di daerah ini apabila telah merebak ke generasi kelima melibatkan tiga buah kampung.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, seramai 127 kes positif dikesan daripada kluster, 725 orang kontak rapat dan 975 sampel sedang menunggu keputusan.

Katanya, ini tidak termasuk  saringan bersasar yang melibatkan ke tiga buah kampung iaitu Felcra Bukit Kepah, Kg Tengkawang dan Kg Pulau Kudat dan penularannya masih aktif.

"Kluster ini merupakan yang terbesar di Hulu Terengganu hasil rentas negeri sebelum raya, ziarah raya dan kunjung mengunjung melibatkan keluarga besar. 

"Bayangkan 19 dikesan positif dari hanya dua buah keluarga. Habis raya yang bekerja masuk kerja. Tanpa sedar menjangkiti rakan sekerja pula. 

"Lebih risau sudah ada jemaah masjid dijangkiti. Akhirnya jangkitan bersambung sambung dan anda boleh sambung sendiri cerita ini...," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Tambah beliau, pihaknya akur bahawa jangkitan dalam keluarga agak sukar dibendung namun apabila melibatkan beberapa keluarga, jiran tetangga dan pejabat akhirnya merebak hingga ke beberapa buah kampung, ia amat dikesali.

"Situasi ini kita amat kesal dan marah. Jika keadaan begini berterusan dan kluster baru tumbuh bagai cendawan bila masa kita boleh kawal semua kluster tu serentak?.

"Jika keadaan begini berterusan mampu ke kita landaikan lekuk epid dalam masa dua minggu ini?," ujarnya. 

Justeru itu kata Nor Azimi, kawalan kendiri sangat penting dan kekal duduk rumah kecuali ada urusan penting maka tidak ada akan dijangkiti atau menjangkiti orang lain.

"Insya-Allah, pencegahan itu sangat lebih baik daripada merawat.

"Fikir orang lain, jaga orang lain dan jangan fikir diri kita sahaja," rayu beliau.

 


Tag: