KUALA NERUS, 30 Jun - Terengganu Football Club (Terengganu FC) gagal memanfaat bermain di laman sendiri apabila terikat tanpa jaringan ketika menentang Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Zainal Abidin (SSMZA) di sini sebentar tadi.
Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain sekali lagi mempertaruhkan sentuhan magik duo penyerang import, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre namun masih gagal mencari kemenangan.
Awal permainan menyaksikan pasukan tuan rumah mendominasi permainan dengan beberapa kali membawa bola ke dalam kotak penalti Skuad Hobin Jang Hobin namun dikecewakan barisan pertahanan pelawat.
Selepas 13 minit sepak mula, perlawanan terpaksa ditangguhkan sekitar disebabkan hujan lebat serta kilat di SSMZA.
Bagaimanapun, penyokong The Turtle seramai 4,500 orang setia menanti selama satu jam sehingga perlawanan disambung semula.
Minit ke-32, pemain pertahanan muda Terengganu FC, Azam Azmi melakukan rembatan jauh dari luar kotak penalti namun penjaga gol lawan, Ahmad Syihan Hazmi menangkap kemas.
Peluang Terengganu FC mendapatkan gol pendahuluan sekali lagi dinafikan oleh tiang gol apabila lorongan bola Nik Sharif kepada Kpah namun gagal disempurnakan pada minit ke-36.
Perlawanan kekal tanpa jaringan hingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung di babak kedua, NSFC bermula rancak dengan beberapa percubaan namun masih buntu mendapatkan gol.
Pemain lincah Skuad Penyu, Faisal Halim cemerlang melakukan beberapa gerakan namun dikekang kemas pertahanan Negeri Sembilan FC.
Pada minit ke-83, Terengganu FC sekali lagi gagal memanfaatkan sepakan percubaan hasil sepakan pemain gantian The Turtle, Muhammad Zuasyraf Zulkiefle yang tinggi.
Peluang terbaik hadir pada minit ke-88 menerusi pemain tengah Terengganu FC, Manuel Ott yang melakukan rembatan jauh tapi digagalkan palang gol.
Perlawanan kekal 0-0 hingga tamat 90 minit.
Keputusan malam ini meletakkan Terengganu FC naik ke tangga ke-7 dengan tujuh perlawanan.
Selepas ini, Terengganu FC akan menerima kunjungan Sri Pahang FC pada Ahad.