• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kongsi Rezeki Di Bulan Ramadan




Oleh : Safwan Syakir

KUALA NERUS, 23 Mei - Ketibaan Ramadan sering kali disambut meriah oleh masyarakat Islam di seluruh dunia dan bulan yang penuh berkat serta mempunyai pelbagai keistimewaan kepada umat Islam itu dituntut supaya memperbanyakkan amalan dan kebajikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata umat Islam tidak seharusnya melepaskan peluang keemasan yang ditawarkan oleh Allah SWT pada bulan ini.

"Hanya takwa menjadi ukuran yang dinilai oleh Allah kepada hamba-Nya, semakin banyak amal kebajikan yang dibuat, maka semakin tinggi kedudukan di sisi-Nya.

“Dengan berlumba-lumba dan bersegera dalam melakukan kebaikan, setiap insan dituntut tidak melepaskan apa sahaja peluang kebajikan atau pintu kebaikan yang ada di hadapan mata apatah lagi dalam bulan Ramadan yang penuh barakah ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penutup program singgah sahur Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal di Balai Raya Pulau Sekati.

Menurut Dr. Alias, kos keseluruhan untuk program singgah sahur kali ini berjumlah  RM27,000 melibatkan 27 buah kampung dengan 20 pek berisi keperluan harian untuk setiap satu kampung.

"Alhamdulillah kita berjaya agihkan sumbangan ini kepada 540 orang penduduk yang layak di DUN Bukit Tunggal dengan kerjasama ahli jawatankuasa Majlis Tindakan DUN (MTD) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

“Diharap dengan penganjuran program tahunan ini dapat membantu golongan memerlukan, sekali gus memberikan kegembiraan kepada mereka lebih-lebih lagi menjelang Ramadan ini, “ ujarnya,”ujarnya.


Tag: