• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Kontinjen Marang Johan Sulung Piala Bola Jaring ADUN Wanita Terengganu


MARANG, 28 Julai - Pasukan Alur Limbat Sejahtera yang mewakili kontinjen Marang dinobatkan juara sulung dalam Kejohanan Tertutup Bola Jaring Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu peringkat negeri yang diadakan di Wakaf Tapai, kelmarin.

Pengarah program, Tengku Fathimah Tengku Hashim berkata, kejohanan tersebut diadakan bertujuan membina semangat berpasukan selain memupuk suasana harmoni para wanita dalam masyarakat.

“Bukan itu sahaja, kita juga dapat menepis stigma bahawa sukan hanya khusus untuk golongan tertentu sahaja.

“Beriadah dan bersukan untuk melahirkan insan yang cergas dan cerdas dituntut oleh agama. Dalam kejohanan ini, kita turut berpakaian sukan patuh syariat sebagai menyahut seruan kerajaan negeri,” katanya ketika berucap dalam penutup kejohanan itu.

Kejohanan berkenaan menemukan 16 pasukan yang mewakili parlimen masing-masing setelah memenangi kejohanan peringkat daerah awal Julai lalu.


Kejohanan tertutup itu dirasmikan sendiri ADUN Wanita, Zuraida Md Noor yang turut dihadiri Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah dan Ahli Jawatankuasa Khairunnisa' (Persatuan Isteri Wakil Rakyat & Bekas Wakil Rakyat Terengganu).

Zuraida ketika berucap turut menzahirkan kegembiraan atas kejayaan acara yang julung kali diadakan itu.

“Terima kasih atas usaha menjayakan program ini. Usaha mengetengahkan konsep sukan patuh syariah ini disambut baik di semua peringkat, namun usaha penerangan masih perlu dibuat.

“Saya yakin tidak mustahil, agenda sukan patuh syariah ini akan dipersada di peringkat nasional,” katanya yang menasihati peserta agar sentiasa memperbetulkan niat untuk satu tujuan iaitu merapatkan hubungan antara satu sama lain.

Selain bakal diadakan secara tahunan, Kejohanan  Tertutup Bola Jaring ADUN Wanita menjadi pemacu acara sukan bagi wanita negeri Terengganu pada masa akan datang.



  



Tag: