• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KPDN Lancar Ops Manis Tangani Isu Kekurangan Gula

KUALA NERUS, 3 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini melancarkan Ops Manis bagi menangani isu kekurangan gula di Negeri Terengganu dan Kelantan.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Dato' Azman Adam berkata, operasi khas khusus di dua negeri itu dilaksanakan dalam tempoh seminggu dahulu dan akan melihat apa tindakan selanjutnya.

"Ops Manis ini adalah salah satu operasi yang kita mulakan pada hari ini untuk menguruskan isu-isu berkaitan dengan bekalan gula.

"Objektif utama Ops Manis adalah untuk memulihkan bekalan dan memastikan semua tempat ada gula tidak kira di bandar mahupun luar bandar.

"Selain memastikan tidak berlaku aktiviti menyorok gula oleh penjual tidak bertanggungjawab dan mengelak pembelian panik oleh pengguna, " ujarnya kepada pemberita semasa memantau bekalan gula di sebuah gudang pemborong di Gong Badak, hari ini. 

Menurut beliau, pasukan penguatkuasa KPDN di kedua-dua negeri terbabit juga akan buat pemantauan secara terperinci bagi memastikan bekalan gula sampai kepada pengguna seperti yang dijadualkan. 

"Semalam kami telah mengadakan mesyuarat tergembar dengan kedua-dua syarikat pengeluar utama gula iaitu MSN dan CSR dan mereka memberikan komitmen untuk memastikan pengguna tidak menghadapi masalah besar berkait dengan bekalan gula. 

"Justeru, pemborong yang dapat bekalan gula diharap dapat edar dengan segera dan beri penekanan kepada pelanggan biasa. Peruncit pula jangan sorok bekalan dan jual dengan harga tinggi. Kalau ada yang buat kita akan ambil tindakan tegas, " ujarnya. 

Menurut Azman, di Kelantan pihaknya menerima 11 aduan membabitkan kesalahan menyorok, enggan menjual dan meletakkan harga mahal.

"Di Terengganu, setakat ini kita tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung kekurangan gula dan keadaannya masih terkawal, " jelasnya.