• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

KRT Hulu Terengganu Agih 9 Ribu Pek Bubur Lambuk

HULU TERENGGANU, 2 April – Sebanyak 45 kawah bubur lambuk dimasak oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daerah ini sempena Program Gerak Rahmah  2023 : Jom Masak Bubur Lambuk.

Pegawai Perpaduan Daerah Hulu Terengganu, Asronizam Mamat berkata, program yang diadakan secara serentak oleh KRT seluruh negara  itu bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan dan mengeratkan hubungan antara komuniti merupakan salah satu inisiatif oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Selain itu katanya, ia juga bertujuan untuk meneruskan kesinambungan program-program JPNIN untuk memperkasa, mempertingkatkan dan mempelbagaikan program KRT ke arah membangunkan komuniti rahmah.

“Sebanyak  9,000 bekas bubur lambuk dapat disediakan dan diagihkan kepada komuniti setempat.

“Program ini telah mula dilaksanakan pada tahun lepas dan ini merupakan tahun kedua pelaksanaannya dan gembira dengan sambutan daripada KRT yang melaksanakan program ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Antara KRT yang terlibat dalam pelaksanaan program ini adalah Kampung (Kg) Pengkalan Ajal, Kg Tok Randok, Kg.Gunung, Felda Tersat, Kg Landas, Kg Pantai Ali, Kg Kuala Ping, Kg. Sekayu, Pekan Kuala Berang, Sungai Bajar serta Felda Jerangau Barat dan Kg Teris.