• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Kuala Nerus Juara Pertandingan Memasak Singgang Terengganu

KUALA TERENGGANU, 11 November - Kuala Nerus telah dinobatkan sebagai johan 'Pertandingan Juara Singgang Terengganu 2023'.

Pertandingan kali pertama yang dianjurkan oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu itu menjadikan makanan tradisi turun temurun rakyat negeri ini sebagai menu untuk rakyat Terengganu beradu kemahiran dan kepakaran bagi menyediakan Lauk Singgang.

Mewakili Kuala Nerus, Nor Mazura Abdul Malik berkata, dia tidak menyangka penyertaan kali pertamanya berjaya menambat hari juri untuk muncul sebagai juara.

"Terima kasih kepada Majlis Daerah Kuala Nerus yang memberikan kepercayaan kepada saya bersama dua orang adik saya, Muhammad Faizal Izuddin, Ahmad Faez Saharuddin serta seorang anak perempuan saya Nurul Najwa Rosfaizal bagi menyertai acara ini.

"Tiada apa-apa resepi rahsia, cuma kami cuba pertahankan masakan ini dengan mengikut betul-betul resepi orang Terengganu punya, saya tekun mempelajari cara masakannya.

"Mungkin perbezaan yang saya lakukan ialah hanya meletakkan bawang putih sahaja bersama asam keping, lengkuas dan lada, bagi menyertai pertandingan ini saya mengambil masa seminggu untuk melakukan persiapan dan persediaan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas diumumkan sebagai juara pada Pertandingan Juara Singgang, di Dataran Dato' Setia Wangsa Kompleks Muzium negeri, di sini, hari ini.

Perasmiaan penutup dan penyampaian hadiah itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan nasional negeri, Maliaman Kassim.

Acara pertandingan berkenaan telah diadili oleh bekas tukang masak Istana Syarqiyyah. Nazrul Hazel Mohd Nor (Chef Nazrul) sebagai ketua juri.

Juara dari Kuala Nerus itu telah memenangi wang tunai sebanyak RM1,000, sementara itu Marang pula telah muncul sebagai naib juara dengan membawa pulang wang tunai RM750, diikuti Hulu Terengganu di tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai RM500.

Manakala Kemaman, Setiu, Besut, Kuala Terengganu dan Dungun menerima sagu hati dengan masing-masing menerima wang tunai RM300.

Dalam pada itu, Maliaman berharap agar pertandingan itu tidak hanya sekadar mencari juara tetapi mampu untuk mengangkat martabat makanan tradisi itu ke tempat yang lebih tinggi dan tidak hanya dikenali oleh rakyat negeri ini.

"Terima kasih kepada pihak muzium negeri kerana mengadakan pertandingan seumpama ini dalam usaha mengangkat tradisi dan warisan makanan negeri Terengganu," ujarnya.