• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Kursus Intensif Khas Dedah Pelajar Dengan Timur Tengah

KUALA TERENGGANU, 7 September- Seramai 143 pelajar yang mengikuti Kursus Intensif Khas Pelajar Terengganu Ke Timur Tengah Sesi 2023 bakal berangkat ke institusi pengajian masing- masing termasuk di Jordan dan Mesir bermula 9 September ini. 

Kesemua pelajar yang terlibat adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari seluruh negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, kursus selama tiga hari itu bertujuan meningkatkan penguasaan pelajar dalam mempelajari Bahasa Arab melalui penulisan dan komunikasi serta memahami adat budaya dan nilai-nilai masyarakat di Timur Tengah.

"Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada jabatan yang terlibat dengan penganjuran program ini termasuk Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), Yayasan Terengganu, Maidam serta UniSZA yang telah memberikan kerjasama yang baik. 

"Melalui program khas ini, pelajar mendapat pendedahan awal dalam mempelajari ilmu berkenaan 'bahasa pasar' dan juga budaya Timur Tengah kerana perkara ini tidak diterapkan semasa pembelajaran di sekolah," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Intensif Khas Pelajar Terengganu Ke Timur Tengah Sesi 2023 di Dewan Dato' Seri Tuan Guru, DITC Kemaman, hari ini.

Satiful berkata, kerajaan negeri amat komited dalam membantu anak Terengganu yang cemerlang meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

"Ini termasuk peruntukan sebanyak RM5 juta setahun yang kita peruntukkan kepada pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran bermula tahun 2018.

"Hasrat kita adalah untuk memastikan tiada pelajar cemerlang yang tidak dapat melanjutkan pelajaran disebabkan masalah kewangan," ujarnya.