• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Labuh Unjam Komuniti Pupuk Semangat Kekitaan

Foto oleh - Norekwan Mamat
Oleh: Hidayah Azlin

BESUT, 23 April - Program labuh unjam dan tukun bersama komuniti bukan sahaja membantu untuk memperkayakan sumber perikanan malah memupuk semangat kekitaan di kalangan nelayan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, aktiviti itu mampu memupuk komuniti mengeratkan persaudaraan sambil menikmati hasil penat lelah dan saling menjaga sumber rezeki untuk faedah mereka bersama.

“Hari ini saya sangat puji  dan menghargai semangat kerjasama nelayan kawasan Pantai Benting Lintang ini yang kita boleh simpulkan antara yang terbaik memberikan kerjasama, semangat setiakawan dan kekitaan untuk melaksanakan program,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)  di Majlis Pelancaran Melabuh Unjam Perairan Besut, pagi tadi.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, di majlis itu, sebanyak 25 unjam daun kelapa dan daun gelam dilabuhkan bersama pemberat konkrit dengan jarak empat hingga lima batu nautika daripada pantai, iaitu zon tangkapan nelayan pantai dan zon larangan pukat tunda.

Katanya, untuk program tukun tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000, manakala Kerajaan Persekutuan pula membelanjakan kira-kira RM300,000 secara berperingkat-peringkat.

Katanya, Besut merupakan daerah pertama melaksanakan projek itu tahun ini. Manakala tahun lalu, program yang sama dijalankan di perairan Kuala Besut yang melibatkan 28 buah tukun dasar lembut  dan perairan Marang (53 tukun), manakala di perairan Paka, Dungun (44 tukun)





‘’Program melabuh tukun ini kita akan diteruskan di Kuala Terengganu Utara dan Daerah Setiu. Program melabuh unjam pula, kita akan pastikan  dapat dilaksanakan  di semua daerah  secara berperingkat.’’jelasnya lagi.

“ Selain perkayakan semula sumber,  kita sedaya yang mampu membanteras pencerobohan yang merupakan punca ancaman sebenar nelayan.”

Tag: