• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Lahir 'Ulama Rabbani' Di Kalangan Umat


KUALA TERENGGANU, 2 April -Ulama Syria, Sheikh Mustofa Dib Al Bugha berharap agar ada di kalangan umat Islam mampu menjadi 'ulama rabbani' yang mengkaji al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain.

Menurutnya, sepatutnya setiap individu muslim menjadi orang alim, namun begitu Allah SWT sudah menetapkan bahawa ada yang mampu dan ada pula sebaliknya.

"Maka perlu ada pengkhususan, ada yang mendalami hukum (syariah), ada yang pakar dalam hadis (Nabi SAW), ilmu perubatan dan sebagainya,

"Apa sahaja ilmu yang diperlukan dalam kehidupan kita ini," ujarnya.

Beliau yang juga seorang ulama terkemuka berkata demikian dalam program Wacana Perdana di Dewan Auditorium, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.


Beliau mendedahkan, hadis Nabi SAW menyatakan terdapat lebih daripada 70 cabang iman.

"Cabang iman yang paling tinggi adalah mengucap dua kalimah syahadah manakala yang paling akhir sekali membuang kotoran daripada laluan manusia.

"Ia menunjukkan bahawa ilmu syarak dan hadis itu luas bahkan umat Islam mempelajari serta mengajarnya adalah satu ibadah,"  jelasnya.

Oleh itu, kata beliau, seorang ulama rabbani wajib memahami isi kandungan al-Quran, namun tidak semestinya menghafal semua.

"Sepatutnya  kita cuba  memahami apakah (isi yang) hendak  disampaikan kemudian amalkan sebelum disampaikan  kepada orang lain.

“Janganlah kita tidak mengotakan apa yang kita  kata seterusnya ada ramai manusia  jadi ketagih dengan  alat perhubungan moden ini (contohnya) telefon. Ini sedikit sebanyak mengganggu proses pengajian. Kita yang nak jadi ulama rabbani ini kena ambil ingatan,” katanya.


Justeru itu, tegasnya, mereka yang menjadi ulama rabbani hendaklah belajar cara penyampaian dengan berhikmah tanpa mencederakan perasaan sesiapa.

"Dalam bab dunia, biar orang cari kita, bukan kita cari orang. Kita kena berdakwah dengan cara terbaik dan bijaksana dan menjadi 'al-Quran yang bergerak',” tambahnya.

Tag: