• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

'Lebarkan Syukur, Sulam Intipati Al-Quran Dalam Diri' - MB

KUALA TERENGGANU, 29 April - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengajak rakyat negeri itu menyatakan kesyukuran kerana dapat bersama dalam memperingati peristiwa yang amat besar ertinya kepada umat Islam iaitu peristiwa Nuzul Al-Quran.

"Peristiwa penurunan al-Quran yang berlaku pada bulan Ramadan bukan sekadar peristiwa biasa tetapi merupakan suatu titik permulaan penyebaran cahaya Islam ke seluruh alam bagi menyelamatkan manusia dari kegelapan jahiliah.

"Manusia wajib beriman kepada al-Quran dan menjadikannya sebagai petunjuk dan kayu ukur dalam menjalani kehidupan individu, bermasyarakat sehinggalah bernegara," nasihatnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu di Masjid Tengku Tengah Zaharah, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah serta ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Dr. Samsuri turut memetik kata-kata tokoh sarjana dalam bidang tafsir, Syeikh Muhammad bin al-Tahir bin Asyur yang menyatakan objektif utama daripada penurunan al-Quran adalah untuk merealisasikan penambahbaikan individu dan masyarakat.

"Al-Quran dijadikan rujukan utama dalam model pembangunan modal insan seorang Muslim kerana sifatnya yang menyeluruh, meliputi duniawi dan ukhrawi.

"Usaha kita hari ini adalah satu permulaan kepada hasrat dan cita-cita kita bagi memuliakan al-Quran, bukan sekadar membacanya tetapi mengambil intipati dan panduan yang merupakan mukjizat yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW," katanya.

 

 

 

 


Tag: