Oleh: Suriati Ali
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos - Lebih 20,000 penduduk dijangka membanjiri Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus bagi menjayakan Himpunan 3 Menteri Besar Pantai Timur (HIMPUN) yang akan berlangsung pada 22 ogos ini (Khamis).
Pertemuan antara Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Kelantan Dato' Bentara Kanan Ahmad Yaakob itu dijangka dapat mengukuhkan lagi hubungan antara negeri berkaitan.
Selain itu, program yang diadakan akan menterjemahkan rasa kesyukuran pentadbiran kerajaan Terenganu yang kini diterajui Dato' Seri Ahmad Samsuri.
Ahmad Samsuri berkata, pelbagai aktiviti menarik diadakan semata-mata mahu menarik minat penduduk hadir pada program yang julung kali dianjurkan itu.
"Program yang dijangka bermula pada jam 7.00 petang itu akan dimulai dengan solat maghrib berjemaah.
"Kemudiannya Bicara Murabbi Ummah disampaikan oleh penceramah
bebas Ustaz Azhar Idrus dan dimoderatorkan Ustaz Kamaruzaman Abdullah (Pengarah i-MiTS)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, petang tadi.
Katanya, selepas itu, Solat Isyak dan Solat Hajat Berjemaah yang akan diimamkan Tuan Haji Mokhtar Salleh (Imam Besar Negeri Terengganu)
"Dan akhir sekali ucapan dan pesanan istimewa daripada tiga menteri besar dari tiga negeri.
"Oleh itu, orang ramai diseru hadir beramai-ramai bagi meraikan program tersebut,"katanya.