• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Lebih Lima Ribu Meriahkan Rumah Terbuka PKM Kijal

KEMAMAN, 11 Mei - Lebih 5,000 pengunjung hadir di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di sini semalam.

Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh menzahirkan ucapan terima kasih kepada para pengunjung dan petugas yang telah menjayakan majlis tersebut.

Katanya, majlis itu menerima kunjungi daripada masyarakat setempat, wakil setiap Pejabat DUN dan Parlimen, Ketua-ketua Jabatan, semua agensi kerajaan pusat dan negeri yang sudi sama-sama memeriahkan majlis ini.

"Tak lupa juga kepada semua agensi swasta, anak syarikat kerajaan negeri, Perguruan Silat, Penghulu Mukim, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan seluruh jawatankuasa panatia program dan para petugas, pada majlis tersebut," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal bertempat di Perkarangan Kompleks Paya Lasir, Bandar Baru Kijal semalam.

Diantara sebahagian tetamu yang hadir. 

Tambah Hazri Jusoh, beliau mengharapkan agar majlis ini dapat merapatkan lagi ukhwah islamiyah sesama insan dengan tidak mengira fahaman politik.

"Politik-politik juga tapi silaturrahim sebagai umat Nabi Muhammad SAW perlu diteruskan bagi membentuk sebuah negara, negeri dan masyarakat yang harmoni," katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa pilihanraya negeri (PRN) akan diadakan dalam masa terdekat dan mengharapkan ianya akan berlaku dengan aman.

"Tidak lama lagi PRN akan diadakan bagi memilih kerajaan untuk penggal baru dan kita mengharapkan agar setiap penyokong parti perlu berlapang dada supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini," ujarnya.