• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Lembu Sado Trend Baharu Jana Pendapatan Lumayan


Oleh: Khalid Abdullah

KEMAMAN, 27 Mac - Penternakan lembu sado di Terengganu kini menjadi fenomena dan trend baharu dalam kalangan anak muda khususnya untuk menjana pendapatan lumayan.

Di daerah Kemaman umpamanya, Mohamad Taufik Mohamad Nor, 30, dari Kampung Baru, Kertih ialah antara golongan muda yang menjadikan ruminan baharu ini sebagai lubuk menjana ekonomi.

“Ramai golongan muda berjinak-jinak dalam industri penternakan lembu sado kerana hasilnya sangat lumayan dan harga seekor lembu sado jantan dewasa bernilai belasan ribu ringgit berbanding harga lembu tempatan atau kacukan Kedah-Kelantan.

“Mungkin bermula dengan minat atau mewarisi baka induk dari ibu bapa seperti saya, penternakan lembu sado sudah menjadi aset atau pelaburan bernilai bagi golongan muda selain memenuhi permintaan. Ia adalah trend terbaharu di Terengganu dan mampu membantu negara mengurangkan import daging,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di sini baru-baru ini (25 Mac).

Mohamad Taufik yang juga bapa kepada tiga orang anak memberitahu, kenangan manis sepanjang melibatkan diri dalam penternakan lembu sado adalah memenangi tempat kedua Pertandingan Lembu Sado sempena Road To MAHA di perkarangan Pejabat MARDI, Manir pada 26 Oktober tahun lalu.

“Membawa cabaran baka Limousine bergelar Davic, akhirnya muncul naib juara dan membawa pulang hadiah kemenangan RM1,000 berserta piala dan sijil.

“Davic kini berumur empat tahun tujuh bulan, sudah mencapai harga RM18,000 dengan berat terkini 940 kilogram.

“Jumlah keseluruhan lembu sado pelbagai peringkat umur yang dibela kini mencecah lebih 30 ekor dan terdiri daripada pelbagai baka seperti Belgian Blue, Charolais dan Limousine,” ujar beliau.

Tambahnya, seekor anak lembu sado boleh mencecah harga RM5,000 apabila berumur lima bulan dan kandang ternakan beliau tidak putus-putus dikunjungi golongan muda yang berminat mendapatkan anak lembu sado untuk memulakan projek penternakan atau mengembangkannya.

“Orang muda tidak seharusnya berasa malu untuk menjadi penternak kerana ia memberikan hasil yang amat lumayan,” ujar beliau lagi.

Tag: