• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Madinah Ramadan Batu Buruk Meriah Pengisian - MB Terengganu

Dr Ahmad Samsuri (empat dari kanan) bersalaman dengan pelajar sekolah di Madinah Ramadan Batu Buruk. 
KUALA TERENGGANU,  6 Mei - Kerajaan negeri mahu menjadikan program Madinah Ramadan lebih terancang tahun ini supaya rakyat dapat beribadah dengan lebih selesa berbanding tahun lalu. 

Ia juga lebih santai dan mesra pelancong memandangkan ia diadakan di Padang Taman Awam dan berhampiran dengan Pantai Batu Buruk .

Serentak itu kerajaan negeri mengajak rakyat Terengganu termasuk para pelancong yang berkunjung ke pantai tersebut mengambil kesempatan untuk menghadiri Madinah Ramadan bagi menghidupkan malamnya dengan pelbagai aktiviti keagamaan. 

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri berkata, pelbagai aktiviti diatur di Madinah Ramadan termasuk Tazkirah, Bicara Ilmu Feqh Wanita, Ceramah Badar Kubra, Nuzul Quran yang direncanakan sebagai satu usaha secara bersama kerajaan negeri dan seluruh rakyat Terengganu.

"Aktiviti tersebut diwujudkan untuk menjadi satu contoh bahawa kerajan negeri harus meletakkan perancangan supaya rakyat keseluruhannya dapat mengimarahkan bulan Ramadan dengan lebih baik dari tahun lalu.
Menteri Besar (empat dari kanan) diiring ke Khemah Madinah Ramadan di Padang Taman Awam Batu Buruk.
"Dalam masa yang sama kerajaan negeri mengalu-ngalukan sebarang sokongan dan kerjasama dari semua pihak hatta orang perseorangan sekalipun agar memberi sumbangan tenaga, masa dan kewangan bagi menghidupkan Suasana Madinah Ramadan terutama menyumbang juadah berbuka puasa," jelasnya.

Ini kerana katanya, amalan menyediakan juadah berbuka puasa adalah amalan yang dijanjikan pahala oleh Allah sebagaimana Rasulullah SAW menyebut bahawa sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia memperolehi pahala seperti orang yang berpuasa tanpa pengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Madinah Ramadan di Padang Taman Awam Batu Buruk di sini.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A Rahman Yahya, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato' Azhar Abdul Hamid dan Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Md Azahar.

Tuan Faizah Tuan Ab Rahman (tengah), isteri Menteri Besar dan Hajah Zarani Othman (kanan), isteri Haji Yahya turut hadir di Madinah Ramadan.
Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Madinah Ramadan itu.

Sementara itu Ustaz Mohd Nor ketika berucap di majlis yang sama berkata, tahun lepas kerajaan negeri mengadakan Madinah Ramadan di Dataran Shah Bandar, tidak jauh dari situ tetapi ada pendapat yang mengatakan suasana di tempat berkenaan tidak sesuai kerana kesesakan lalu lintas dan sebagainya.

"Kali ini kita pindah ke Pantai Batu Buruk dengan suasana yang sangat lega, moga-moga orang Islam di Terengganu boleh datang sambil beribadat kepada Allah di samping boleh bersantai di Pantai berhampiran," jelas beliau.

Katanya, pengisian sepanjang Ramadan sangat ilmiah bertujuan mendekati semua lapisan masyarakat dengan menyusun program sesuai dengan semua lapisan masyarakat di negeri Terengganu.

Menurut beliau para pelancong di kawasan Rekreasi Batu Buruk boleh berbuka secara percuma dan mereka juga boleh beribadat di Madinah Ramadan.

Menteri Besar dan kepimpinan negeri ketika menunggu sampainya waktu berbuka puasa di Madinah Ramadan.
Ustaz Mohd Nor yang juga ADUN Bukit Payung berkata, kerajaan negeri juga membuka peluang kepada pelancong bukan Islam untuk melihat bagaimana suasana menyambut Ramadan di negeri Terengganu.

"Kerajaan negeri bagi ruang untuk mereka menjamu selera bersama dengan orang Islam di waktu berbuka puasa di Madinah Ramadan.

"Program itu diharap dapat mendedahkan Terengganu kepada para pelancong agar mereka tertarik dengan konsep pentadbiran negeri berteraskan Maju, Berkat dan Sejahtera," ujarnya.


Tag: