Madinah Ramadan Dungun Disambut Meriah
DUNGUN, 13 Mac – Program Madinah Ramadan yang diadakan di Masjid Al Mustaqim, Paya Pelandang, menjadi acara tahunan yang dinantikan di daerah Dungun.
Program ini dilaksanakan dengan penuh meriah bagi bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang keindahan hidup mengikut syariat Islam.
Pelbagai aktiviti keagamaan, termasuk ceramah dan pengajian, diadakan untuk memanfaatkan keberkatan bulan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi berkata, seluruh umat Islam diseru untuk mengambil peluang terbaik dalam bulan Ramadan dengan menambah amal ibadah dan ilmu.
"Di saat kita menahan diri daripada makanan jasmani pada siang hari, kita harus mengisi makanan rohani pada saat berpuasa. Itulah sebaik-baik puasa di bulan Ramadan.
"Program Madinah Ramadan bukan sekadar memperingati bulan suci Ramadan, tetapi juga memberi peluang kepada masyarakat untuk memperdalam ilmu agama melalui majlis-majlis ilmu yang telah disediakan oleh pihak penganjur," katanya ketika ditemui selepas perasmian Madinah Ramadan daerah Dungun, di sini semalam.
Program berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang menegaskan pentingnya program-program seperti ini dalam memperkukuhkan kefahaman agama dalam kalangan masyarakat dan memupuk semangat perpaduan.
Mohd Fadhli turut mengajak semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan program Madinah Ramadhan kali ini, dengan harapan agar ia dapat memberi manfaat yang besar kepada semua yang terlibat.
Dengan kerjasama padu antara pihak penganjur dan masyarakat, program Madinah Ramadhan di Dungun tahun ini dijangka akan terus memberi impak positif dalam mempertingkatkan kesedaran agama dan sosial dalam kalangan penduduk setempat.