• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

‘Makcik Viral’ Niaga Seorang Diri Akan Terus Dibantu


Oleh: Aslam Wira

MARANG, 8 April - Kerajaan negeri dan agensi berkaitan sudah mengambil tindakan sewajarnya seperti menyalurkan bantuan kewangan kepada seorang warga emas, Lijah Embong,77, sejak tahun lalu.

Keperitan hidup Lijah yang menetap di Kampung Kuala Tengah bersama seorang anaknya itu tular di media sosial baru-baru ini apabila kisahnya yang menjaja buah-buahan seorang diri di bahu jalan berdekatan Penjara Marang mendapat pelbagai reaksi warganet.


Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, wanita itu merupakan antara penerima bantuan dalam senarai e-Kasih dan turut mendapat pelbagai sumbangan daripada pihak lain.

“Kita tidak mahu rakyat hanya menilai melalui kenyataan yang diuar-uarkan semata-mata kerana mungkin ada yang akan memandang serong kepada kerajaan seolah-olah tiada tindakan diambil.

“Hakikatnya, Makcik Lijah telah mendapat bantuan antaranya daripada kerajaan negeri, Pejabat Menteri Besar Terengganu dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang sebagai penama dalam senarai `Focus Group, Mobile Team' sejak tahun lalu lagi sebelum kisahnya menjadi tular,” ujarnya ketika dihubungi media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.


Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tengah, Abdan Awang berkata, warga emas itu memang suka berniaga sendirian walaupun ada anaknya yang turut berniaga di lokasi berhampiran.

“Dia merupakan penerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM300 sebulan dan melakukan pekerjaan tersebut kerana begitu minat berniaga walaupun usianya sudah meningkat.

“Kesusahan hidup keluarga ini memang mendapat perhatian pelbagai pihak di mana sebelum tular kisah berkenaan, Maidam dan Giat Mara juga telah menghulurkan bantuan membaiki rumah di samping sekumpulan sukarelawan Politeknik Kuala Terengganu turut melaksanakan pemasangan pendawaian elektrik di rumah anaknya,Samsani Mohamad, 45 sebelum ini,” jelasnya.

Abdan berkata, pihaknya juga akan terus membantu warga emas itu menjalankan peniagaan termasuk menyediakan payung supaya dia dapat meniaga dengan lebih selesa.

Menurut Samsani, ibunya seorang yang berdikari lebih berminat untuk berniaga seorang diri.

"Sebelum ini, ibu telah berniaga di tapak itu namun setelah cucunya terlibat dengan kemalangan dan payung di gerai buahnya rosak akibat ribut, rutinnya terpaksa dihentikan seketika.

“Namun, dek kerana sikap ibu yang tidak suka menyusahkan keluarga membuatkannya kembali membuka gerai buah-buahan yang juga tidak jauh daripada lokasi gerai anak serta cucu,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang menzahirkan ucapan terima kasih terhadap kecaknaan warganet.

“Terima kasih atas keprihatinan tuan dan puan. Untuk makluman, MPKK Kuala Tengah, telah cakna akan kesusahan nenek ini sejak dari awal. Beliau merupakan penerima bantuan dan rumahnya telah dibaiki.

“Isteri saya, Kak Zah juga ada melawat dan telah memberikan bantuan kewangan dan keperluan harian dalam beberapa siri ziarah sebelum ini,” katanya yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook rasmi beliau.


Tag: