• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Makin Ramai Belia Terengganu Terima Tanah

MARANG, 16 Mei - Rata-rata anak muda dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan menzahirkan kesyukuran apabila hasrat mereka untuk memiliki tanah dan lot kediaman akhirnya menjadi kenyataan.

Kesemua yang layak menerima geran hak milik tanah masing-masing di Majlis YAB Menteri Besar Turun Padang Dan Jamuan Rakyat Sempena Penyerahan Suratan Hak Milik Tanah Dan Notis 5A Tapak Kediaman Dan Tapak Pertanian Dun Pengkalan Berangan, di Dewan sivik Wakaf Tapai di sini, semalam.

Penerima lot kediaman di RTB Kampung Serating, Mohd Israq Farizan, 31,berkata, dia begitu gembira sebaik dimaklumkan berhubung perkara tersebut.

“Apabila dapat tahu nama saya tercalon untuk dapat tanah, alhamdulillah, saya amat-amat bersyukur, sebab ini merupakan penantian saya sejak enam tahun lalu dan satu jangka masa yang agak lama bagi saya.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberikan tanah kepada mereka yang betul-betul memerlukan.

“Ramai di kalangan anak muda yang menumpang tanah, menyewa, duduk di rumah mak ayah, jadi jika dapat lot tanah boleh la mereka buat rumah sendiri, setakat ini saya lihat pemilihan dibuat secara telus dimana mereka yang cukup syarat berpeluang untuk dapat tanpa mengira fahaman politik,” ujar bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Bagi Lokman Nulhakim Mohamad, 43, berasal dari Kampung Lubuk Perah, Wakaf Tapai pula menyifatkan pemberian hak milik tanah oleh kerajaan negeri agak mudah.

“Saya mohon dalam masa dua tahun lebih dapat, semasa kerajaan terdahulu pernah mohon tetapi tidak pernah dipanggil temuduga.

“Untuk golongan muda yang baru kawin tu mohon la, kerajaan sekarang mudah daripada dulu dan tunai janji. Insya-Allah mereka yang betul-betul cukup syarat akan dapat,” ujarnya yang berbelas tahun tinggal menyewa di Durian Guling.

Sementara itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika berucap di majlis tersebut berkata, sehingga kini sebanyak 781 lot tapak rumah yang melibatkan 13 Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di DUN tersebut telah diluluskan kerajaan negeri.

“Kita juga telah meluluskan 223 lot tapak pertanian di tujuh RTB dan menjadikan keseluruhan hak milik yang terlibat di kawasan ini adalah sebanyak 1,004 lot.

“Pada hari ini (semalam) pula, kita sekali lagi menunaikan janji untuk memberikan hak milik kepada yang berhak iaitu sebanyak 137 penerima, 92 penerima notis 5A dan 52 undian lot bagi RTB tapak rumah dan tapak pertanian di enam kawasan DUN Pengkalan Berangan,” ujarnya.

Menurut beliau, menjadi fokus kerajaan negeri untuk menyelesaikan hal tanah dengan kadar segera dan mudah, namun ianya memakan masa dan harus diuruskan dengan teliti mengikut Kanun Tanah Negara.