• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Manfaatkan Fasiliti TD1303 Sebaik Mungkin - MB Terengganu

Dr. Samsuri mencuba permainan video di ruangan kerja E-Sport Malaysia Terengganu di TD1303.
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Kerajaan negeri menyeru rakyat Terenganu supaya memanfaatkan Terengganu Digital 1303 (TD1303) sebaik mungkin terutama bagi mereka yang ingin memulakan dan mengembangkan perniagaan di lapangan dalam talian.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, TD1303 memiliki fasiliti yang amat baik untuk digunakan.

“Memang potensi yang boleh kita kembangkan ini sangat besar untuk rakyat Terengganu sama ada daripada segi memperkuatkan peniaga-peniaga online (dalam talian) atau sebagainya.

Rakyat perlu ambil peluang gunakan fasiliti yang disediakan kerajaan negeri untuk meningkatkan ekonomi diri- Dr. Samsuri.
“Jadi, rakyat yang ingin meningkatkan kefahaman digital, termasuk yang ingin meningkatkan perniagaan secara online, datanglah ke sini dan gunakan fasiliti yang ada dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika melawat bangunan berkenaan di Kampung Ladang Tok Pelam, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’A. Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman serta pegawai-pegawai pejabat Menteri Besar.

Beliau yang melihat sendiri perkembangan semasa di TD1303 turut berharap lebih ramai pengguna di kalangan rakyat negeri itu akan menggunakan dan mendapat manfaat daripada usaha yang dibangunkan kerajaan negeri itu.

Beramah mesra bersama peserta kursus yang dijalankan oleh TD1303.
"Apabila komuniti perniagaan berkumpul dalam satu tempat yang sama, mereka boleh meningkatkan rangkaian dan melahirkan idea-idea baharu.

“Walaupun perkembangan sebelum ini agak perlahan, saya akan berbincang dengan Exco serta pegawai yang hadir hari ini, bagaimana kita dapat pertingkatkan keadaan supaya lebih baik,” katanya.

TD1303 merupakan aspirasi kerajaan negeri  untuk memperkenalkan inisiatif dan infrastruktur yang menawarkan ruang kerja efektif.

‘Co-working space’ (ruang bekerja bersama) yang ditawarkan lebih menekankan aspek pembangunan komuniti dan keseimbangan serta saling berhubung dan berkongsi menjadikannya tempat menarik untuk warga komuniti mengeluarkan hasil kerja yang lebih jitu.



Tag: