• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Mangsa Banjir Temerloh, Chenor Terima Sumbangan Pasca Banjir RM50,000

TEMERLOH, 6 Januari - Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memperuntukkan sumbangan bernilai RM50,000 kepada penduduk di sekitar daerah Temerloh yang terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini.

Menurut Pengerusi PAAB, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali merangkap Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, sumbangan pasca banjir itu melibatkan 250 keluarga daripada daerah Temerloh dan Chenor yang diharap dapat meringankan beban mereka  selepas ditimpa musibah banjir.

“Mangsa banjir di Temerloh dan Chenor ketika ini sangat memerlukan bantuan dan sokongan dari segi kewangan dan motivasi bagi meneruskan kehidupan mereka.

“Jadi, sumbangan ini merupakan sebahagian daripada pelbagai bantuan pasca banjir yang sedang giat digerakkan melibatkan jabatan-jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat-syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu bagi membantu semua mangsa banjir yang berhadapan masalah kewangan untuk meneruskan kehidupan masing-masing," kata beliau dalam majlis Penyerahan Sumbangan Pasca Banjir PAAB.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib yang juga Ahli Parlimen Maran, Ahli Dewan Undangan Negeri Chenor, Mujibur Rahman Ishak serta Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali di Temerloh, Isnin lepas.

Penerima sumbangan, Puan Salmawati Salahudin, dia sangat terharu apabila Khairuddin bermurah hati datang kembali ke Chenor untuk membantu meringankan beban penduduk setempat.

Terdahulu, Khairuddin menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus telah mengadakan beberapa misi kemanusiaan dengan menghantar bantuan dari segi kewangan dan barang dapur untuk 300 buah keluarga di Chenor dengan peruntukan sebanyak RM100,000.

“Rata-rata mangsa banjir meluahkan rasa gembira atas penganjuran program sebegini yang banyak membantu mereka dalam mencukupkan kekurangan selepas banjir dan kita harap program sebegini dapat diteruskan dari masa ke semasa,” katanya.

 

 


Tag: