• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Mangsa Kebakaran Kg Cina Terima Bantuan Tambahan RM2,000

KUALA TERENGGANU, 20 September - Bantuan tambahan sebanyak RM2,000 akan diberikan kepada mangsa kebakaran rumah sederet di Jalan Bandar, Kampung Cina, Ahad lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata selain peruntukan itu pihaknya akan membangunkan semula kawasan kebakaran dengan mengekalkan ciri-ciri warisan yang sedia ada di kawasan tersebut.

Katanya, kerajaan negeri juga akan cuba mengekalkan suasana di kawasan tersebut menjadi warisan atau tempat sejarah yang dibangunkan kembali akibat kebakaran.

“Sebahagian bangunan yang terbakar itu mempunyai nilai-nilai warisan dan sejarah tersendiri di perkampungan tradisi Cina itu.

“Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan pemilik bangunan yang terbakar itu kerana sebahagian kawasan tersebut merupakan tanah milik persendirian," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika melawat tapak kebakaran di Kampung Cina, Kuala Terengganu di sini hari ini. 

Turut hadir Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Md. Hilman Abd. Rashid.

Tambah Dr Samsuri, bantuan berkaitan yang diperlukan oleh mangsa kebakaran akan terus disalurkan bagi meringankan beban mereka.

“Perkara ini tidak boleh diselesaikan dalam masa sekelip mata sahaja tetapi kita akan cuba bantu sedaya upaya,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan pemilik bangunan warisan di negeri ini supaya meningkatkan tahap keselamatan termasuk memeriksa sistem pendawaian elektrik dari semasa ke semasa.

"Antara premis perniagaan terlibat dalam kebakaran tersebut ialah kedai emas, restoran, kedai kain dan kedai membaiki kunci dengan kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah jutaan ringgit," jelasnya.

 


Tag: