• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Manifesto Terlaksana, RM15 Juta Bantu Usahawan


Oleh: Aslam Wira

MARANG, 20 Mac - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu memperuntukkan kira-kira RM15 juta untuk disalurkan kepada usahawan khususnya Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di seluruh Terengganu bagi melaksanakan pelbagai perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman berkata, peruntukan itu akan diagihkan kepada individu yang benar-benar layak dan berpotensi tanpa mengira fahaman politik.

Katanya, melalui manifesto dalam PRU14 yang lepas, PAS ada berjanji sekiranya diberi amanah oleh rakyat, pihaknya mahu mewujudkan satu tabung keusahawanan yang berjumlah RM10 juta, bagaimanapun jumlah itu dinaikkan kepada RM15 juta  dalam Belanjawan 2019.

“Peruntukan dan inisiatif yang diberikan oleh kerajaan negeri bukan sahaja ingin melahirkan usahawan baru, tetapi juga mahu lahirkan usahawan yang berjaya dan bertakwa kepada Allah,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mini Karnival Keusahawanan di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini kelmarin.

Dalam perkembangan sama, beliau telah mengagihkan bantuan pinjaman modal peringkat Parlimen Marang yang diberikan kepada 12 orang usahawan melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) bernilai di antara RM 7,000 sehingga RM 10,000.


Antara agensi yang terlibat adalah YPU, YPK, Peladang, Perikanan, Pertanian, YaPEIM, Veterinar, FAMA dan Pos Malaysia yang memberi penjelasan berkaitan peluang dan pembiyaan atau pinjaman bagi membantu usahawan yang ingin memulakan perniagaan mereka.


Tag: