• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Masjid Kampung Seberang Takir Siap September Ini

Sekretariat PKAPKN dan Ahmad Razif tinjau proses pembinaan yang sedang berjalan.
Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 27 Februari - Masjid baharu Kampung Seberang Takir yang kini dalam proses pembinaan, dijangka siap dibina pada September ini.

Menurut Timbalan Ketua Sekretariat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN), Hafeez Sahidi, projek yang menelan belanja lebih kurang RM2 juta itu berjalan mengikut perancangan kerajaan negeri apabila mencapai 70 hingga 75 peratus siap.

Beliau memaklumkan demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika Sekretariat  PKAPKN melawat lokasi berkenaan bersama pegawai-pegawai kerajaan, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, pegawai-pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seberang Takir dan pemimpin-pemimpin setempat.
Pembinaan lancar mengikut jadual perancangan kerajaan Negeri.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menyifatkan masjid tersebut bakal menjadi mercu tanda bagi rakyat Seberang Takir.

"Pemandangan sungai Kuala Terengganu yang menarik dari anjung tinjau masjid berkenaan bakal menggamit kehadiran orang ramai, penduduk, bahkan pelancong untuk berkunjung setelah siap nanti.

"Saya harap apabila siap nanti ia berjaya dimakmurkan sebaiknya oleh rakyat ke arah merealisasikan moto kerajaan negeri Terengganu, iaitu Maju, Berkat dan Sejahtera," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Beliau tidak hadir bersama dalam lawatan itu kerana mengikuti mesyuarat sebagai panel penasihat Kerajaan Negeri Kelantan di Kuala Lumpur.

Lokasi masjid yang strategik bakal jadi tarikan pengunjung.



Tag: