KUALA TERENGGANU, 11 November – Status terkini projek pembinaan masjid baru di Kampung Tanjung Putat, Kuala Berang adalah di peringkat pelaksanaan semula selepas menerima hala tuju baharu hasil Mesyuarat Tuntutan Peringkat Negeri pada 11 September lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, jangkaan tarikh siap akan ditentukan setelah Perjanjian Tambahan (SA) dimuktamadkan.
“Berdasarkan Keputusan Mesyuarat Tuntutan Negeri pada 11 September lalu, mesyuarat telah bersetuju projek diteruskan dengan pelarasan semula harga kontrak melalui SA dengan had siling tambahan kos yang dibenarkan.
“Kerajaan Negeri turut menetapkan supaya rundingan harga diadakan antara agensi pelaksana dan kontraktor bagi memastikan keputusan pelarasan harga adalah lebih menjimatkan serta tidak membebankan kewangan negeri,” ujarnya.

Hanafiah memaklumkan, kelewatan projek tersebut berpunca daripada keperluan semakan semula harga kontrak susulan kenaikan kos bahan binaan dan perubahan keperluan teknikal yang menjejaskan kemampuan kontraktor melaksanakan kerja pada kadar kos asal.
Katanya, pelaksanaan semula kini sedang berjalan dengan pemantauan rapi oleh agensi pelaksana.
"Projek yang bermula pada 23 Januari 2022 itu mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 69.93 peratus dan kemajuan kewangan 62 peratus setakat ini. Tarikh siap semasa ditetapkan pada 4 Julai 2025 selepas diberi lanjutan masa (EOT 1) serta tambahan perjanjian kedua (SA No.2),” ujarnya.