• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Masyarakat Padang Maras Joging Sambil Berfesyen

KUALA NERUS, 15 Februari - Masyarakat Kampung Maras mencipta kelainan apabila menganjurkan aktiviti santai berjoging atau 'Fun Run Padang Maras di kawasan sawah padi dengan memakai pakaian mengikut tema-tema tertentu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, larian sejauh 5.1 kilometer bertemakan 'warna-warni perayaan' itu juga bertujuan mengembalikan suasana keharmonian dan perpaduan dalam komuniti seperti zaman lampau.

Katanya, program itu disifakan sebagai sangat berjaya apabila mampu mengumpulkan hampir 200 peserta yang menggayakan pakaian masing-masing mengikut tema.

"Dengan pemandangan indah di awal pagi sebaik matahari terbit ataupun detik matahari terbenam, lokasi ini sentiasa menjadi tumpuan orang ramai untuk merakam gambar dan keindahan lanskap yang sangat cantik," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelepasan Larian Fun Run Padang Maras Kampung Maras, Batu Rakit disini baru-baru ini.

Acara ini turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Daerah Kuala Nerus, Muhammad Izzudin Abd. Aziz, Ketua Balai Polis Batu Rakit , Syeikh Mohd Ali Aswad Syeikh Mahamod dan wakil Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Terengganu/Kuala Nerus, Nurmazira Mahussin.

Sementara itu, Setiausaha Kelab Sukan Rekreasi Bukit Maras, Mohd Izham Mohd A.Wahid, 48, berkata, acara itu bakal menjadi acara tahunan.

"Dengan hasrat menjadikannya sebagai satu pengisian komuniti untuk mengeratkan hubungan dan memberi peluang kepada pelancong yang datang untuk menyertai acara, sekali gus menjadikan ia sebagai tarikan untuk menghayati keindahan suasana kampung berlatarkan aktiviti pertanian," jelasnya.

Katanya, mengambil manfaat cuti umum sempena Tahun Baru Cina, 'Fun Run Padang Maras' memberi peluang kepada penduduk kampung dan peserta berkumpul sambil menyertai aktiviti riadah bersama rakan dan keluarga serta merakam momen menarik sepanjang acara berlangsung.

‘’Semangat kesukanan dan keceriaan para peserta yang hadir menjadikan acara yang julung kali diadakan ini sangat meriah dan begitu bermakna sekali. 

"Para peserta terdiri daripada pelbagai peringkat umur dapat berhimpun dalam satu acara komuniti setempat, bersama menghayati keunikkan suasana kampung yang masih tinggal, sementara ia belum ditelan arus pembangunan," katanya.


Tag: