• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

MB Lancar Katalog Perundangan Negeri Terengganu

K

KUALA NERUS, 28 Julai - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini menyempurnakan pelancaran Katalog Perundangan Negeri Terengganu di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menurut beliau, penerbitan katalog berkenaan merupakan inisiatif kerajaan negeri bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MCP) melalui kerjasama bersama Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu dan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa UniSZA dalam melaksanakan program Amalan Baik Peraturan (GRP) di negeri ini.

“Sebahagian aktiviti GRP melibatkan kajian semakan semula peraturan sedia ada untuk meningkatkan kecekapan kawal selia dan kesesuaian pelaksanaannya dengan keadaan persekitaran semasa di mana peraturan yang tidak sesuai akan ditambah baik atau dihapuskan untuk mengurangkan beban yang tidak wajar dan kos pematuhan yang ditanggung oleh pihak yang berkepentingan.

“Salah satu elemen yang ditekankan dalam GRP adalah ketelusan. Semua peraturan perlulah dikumpulkan dan dikongsikan kepada pihak berkepentingan agar proses pematuhan peraturan dapat berjalan dengan telus, sempurna dan kos pematuhan yang rendah,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Katalog Perundangan Negeri Terengganu sempena International Conference On Law And Globalistion (ICLG2019) & International Conference On Global Humanitarianism & Human Rights (ICGHR) 2019 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Bentara Dalam A. Rahman Yahya, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid serta Ketua Pengarah MPC, Dato’ Mohd. Razali Hussain.

Katanya, katalog tersebut mengandungi senarai perundangan yang terdapat di negeri Terengganu di bawah seliaan Pihak Berkuasa Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang merangkumi perundangan utama (enakmen dan ordinan) dan perundangan subsidiari (undang-undang kecil, perintah, kaedah dan peraturan).

“Diharapkan melalui penghasilan katalog ini akan dapat membantu pihak kerajaan negeri mengenal pasti peluang penambahbaikan kualiti peraturan seiring keperluan masa kini dan teknologi serta meningkatkan ketelusan dan tadbir urus kawal selia peraturan negeri ini,” ujarnya.

“Malah, Pejabat Penasihat Undang-Undang amat komited dalam melaksanakan segala inisiatif penambahbaikan tadbir urus dan kawal selia peraturan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan di negeri ini dilaksanakan dengan efektif dan efisyen serta mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi rakyat serta pengguna termasuk para pelabur dan komuniti perniagaan menjalankan urus niaga,” ujarnya.


Tag: