• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

MB Raikan 3,000 Anak Terengganu Di Perantauan


KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Hampir 3,000 anak Terengganu di perantauan tidak melepaskan peluang menjayakan program Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anak Terengganu Di Perantauan di Taman Tamadun Islam, Pulau Warisan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program  yang merupakan acara berterusan dari tahun-tahun sebelumnya adalah satu langkah dan pendekatan terbaik kerajaan negeri untuk bermesra dan mendekati seluruh anak-anak perantau secara santai dan mesra.

"Dan bagi merapatkan lagi hubungan ini, kita akan adakan perbincangan 'round table' (meja bulat) dengan wakil-wakil mereka (perantau), dan alu-alukan idea untuk sama-sama sumbang saran pandangan dalam membantu pentadbiran negeri.

"Semua cadangan dan sumbangan pemikiran anak-anak perantauan ini akan diberi perhatian oleh kerajaan negeri dalam usaha memajukan negeri ini dan kita lihat bagaimana negeri boleh 'improve' pencapaian selepas itu," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas sambutan majlis berkenaan di Dewan Besar TTI, di sini semalam.


Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang operasi pembersihan sampah di malam Syawal baru-baru ini, Ahmad Samsuri berkata, perkara itu menjadi kebimbangan sejak dari awal apabila tiba malam raya, operasi pembersihan terpaksa dilanjutkan.

Katanya lagi, pihaknya telah memberi peringatan kepada semua pihak terutama penjaja supaya menjaga kebersihan masing-masing.

"Tetapi saya belum berpuas hati dengan apa yang berlaku dan percaya walaupun boleh mengambil tindakan tegas tetapi kita akan terus berbincang dan berunding untuk masa akan datang.

"Kita faham bila musim perayaan, semua akan pulang dan jumlah sampah pula akan bertambah luar dari kebiasaan, jadi pengurusannya perlu dilihat kembali oleh operator kebersihan tentang cara gerak kerja ketika waktu puncak termasuk kaedah-kaedah baru yang boleh dilaksanakan," tambahnya.

Tag: