• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

MB Terengganu Melawat Lapangan Terbang Pulau Redang

Dr Ahmad Samsuri (dua dari kanan) melihat pelan cadangan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Pulau Redang. 
SETIU, 4 Ogos - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melawat Lapangan Terbang Pulau Redang dengan diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Bentara Dalam dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri hari ini.

Lawatan tersebut bertujuan mengkaji kewajaran memanjangkan landasan sedia ada kepada 2.2 kilometer bagi  membolehkan kapal terbang berkapasiti 180 tempat duduk boleh mendarat bagi merancakkan kedatangan pelancong asing ke pulau pelancongan yang masyhur itu di masa akan datang.

Dikatakan lapangan terbang sekarang terlalu pendek, hanya  sepanjang satu kilometer,  untuk kapal terbang kecil berkapasiti 18 tempat duduk sahaja boleh mendarat.

Dr Ahmad Samsuri (tiga dari kiri) diberi taklimat berhubung dengan perkembangan di Pulau Redang dalam lawatan ke pulau itu hari ini.
Pembesaran Lapangan Terbang Pulau Redang itu baru di peringkat cadangan dari seorang pemilik resort di pulau tersebut, melibatkan tanah tambakan laut seluas 30 ekar untuk memanjangkan lagi landasannya.

Landasan tambahan itu dijangka  menelan belanja kira-kira RM400 juta bertujuan untuk membolehkan pelancong asing terus datang ke pulau berkenaan dari negara masing-masing.

Dengan ukuran landasan itu membolehkan penerbangan antarabangsa mendarat di pulau berkenaan.

Bagaimanapun kerajaan negeri belum membuat apa-apa keputusan mengenai penambahbaikan lapangan terbang tersebut.

Difahamkan, selepas mendapat kelulusan dari Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, cadangan itu akan dibawa sendiri oleh pihak pencadang kepada Kerajaan Pusat untuk pertimbangan.

Jika diluluskan, ia akan diserahkan kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk pelaksanaan selanjutnya.

Tag: