• 21 Mei 2024 | 13 Zulkaedah 1445

MB Tinjau Rumah Terbakar Di Rhu Renggeh

Dr. Samsuri tinjau keadaan rumah sambil ditemani pegawai Bomba.


MARANG, 24 April –  Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meluangkan masa meninjau  dua buah rumah yang terbakar di Kampung Rhu Renggeh, malam tadi.

Beliau dan isteri, Tuan Faizah Tuan Ab Rahman yang sedang menghadiri perasmian hentian bas baharu di bandar Marang bergegas ke kampung itu sebaik menerima maklumat mengenai kejadian tersebut.

Turut mengiringi beliau, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.

Dr. Samsuri memaklumkan, kerajaan negeri akan membantu mangsa berdasarkan penilaian yang dibuat oleh pihak berwajib dan agensi terlibat.

Kerajaan negeri akan membantu mangsa kebakaran berdasarkan keperluan yang akan dinilai JKM.

“Kita masih lagi ingin mendapatkan maklumat yang lebih jelas berkenaan penghuni kedua buah rumah ini sebelum membuat keputusan mengenai apa yang perlu dibantu.

“Kita akan mempertimbangkan bantuan berdasarkan keperluan yang akan dinilai oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada pihak yang membantu terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat  yang bertindak pantas mengawal kebakaran daripada merebak.

Katanya, bomba juga akan menjalankan siasatan mengenai punca kebakaran dan nilai kerugian yang ditanggung mangsa.

Mohd Salim menyampaikan maklumat berkenaan kejadian kepada MB Terengganu.

Dalam pada itu, Pegawai Balai Bomba Marang, Mohd Salim Mat Saman menyatakan pihaknya mendapat panggilan kecemasan sekitar jam 9.45 malam dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.


“Kerja pemadaman selesai  pada jam 10.30 malam dengan kekuatan 16 anggota dan dua jentera dari Balai Bomba Marang dan Kuala Terengganu.

“Daripada kedua-dua rumah, hanya satu rumah yang didiami oleh seorang lelaki lewat 30-an dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya sambil memaklumkan kesukaran memadam api disebabkan angin kuat selain tekanan air yang rendah.

Keadaan rumah yang musnah keseluruhannya.





Tag: