• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MCT Lancar Tabung Bencana Bantu Mangsa Banjir

HULU TERENGGANU, 21 Disember- Dalam kemeriahan Kenyir Monsoon Casting Tournament (MCT), para penggiat sukan memancing tidak melupakan rakan-rakan dan saudara yang ditimpa bencana banjir ketika ini.

Justeru, pihak MCT melancarkan Tabung Bencana Banjir yang dilancarkan pada hari akhir festival yang berlangsung selama empat hari bermula Jumaat lalu bertujuan membantu mangsa yang teruk dilanda banjir.

Pengerusi Sekretariat MCT 2021, Azri Ngah, berharap ia dapat meringankan beban selain menghilangkan kesedihan mangsa yang kehilangan harta benda, kediaman, malah turut membabitkan kehilangan nyawa.

"Kita belum dapat jumlah sebenar kutipan hari ini dan kutipan ini akan diserahkan kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima," katanya selepas perasmian penutup MCT, semalam.

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Timur, Hafiz Hazin, berkata pelancaran tabung berkenaan adalah tindakan tepat dilakukan penganjur pada masa ini.

"Dalam kita berseronok menjayakan festival ini, kita tidak lupa kepada saudara kita, rakan dan Keluarga Malaysia yang terkesan dengan bencana ini.

"Malah, ada peserta dari negeri terbabit banjir termasuk kakitangan Tourism Malaysia terpaksa pulang serta-merta selepas kediaman mereka dinaiki air," katanya.

MCT 2021 mendapat sambutan meriah apabila menerima penyertaan lebih 350 kaki pancing termasuk dua peserta luar negara masing-masing dari Amerika Syarikat dan Jepun.


Tag: