• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Memahat Sejarah, 3,000 Pelancong Luar Negara Tiba Sekali Gus Sempena Beautiful Terengganu 2017

Wow! Di luar dugaan - mencipta rekod, memahat sejarah seramai 3,000 orang pelancong luar negara iaitu negara ASEAN bakal membanjiri Terengganu pada 2 hingga 4 Januari depan.


Inilah permulaan yang terbaik kepada usaha kerajaan negeri mengisythiarkan 2017 sebagai Tahun Melawat Terengganu (TMT 2017).
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman meletakkan asas yang kuat, menerajui sendiri portfolio pelancongan dengan penekanan yang cukup tinggi diberikan untuk menjana pendapatan rakyat dan ‘pemain-pemain’ industri yang berimpak tinggi ini kepada kecemerlangan ekonomi negeri.
Kunjungan 3,000 pelancong diandaikan berbelanja sekurang-kurangnya RM1,000 tunai seorang dalam tempoh tiga hari itu, bermakna sudah RM3 juta mengalir ke tangan peniaga-peniaga, belum termasuk lagi bayaran penginapan di hotel.

Urusetia yang diketuai sendiri oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Haji Zainal Abidin Hussin berkata, pihaknya telah menyusun yang terbaik bersama Forte Hospitality Management Sdn.Bhd demi untuk melihat peniaga-peniaga Terengganu mengambil manfaat dan faedah dari kehadiran pelancong yang begitu ramai itu.
“Kerajaan menyediakan keperluan-keperluan untuk memastikan kehadiran pelancong ke Terengganu, yang akan memperolehi faedahnya ialah peniaga dan usahawan pelancongan, oleh itu layanlah pelancong itu dengan cara yang terbaik,”ujarnya kepada penulis.
Penulis yakin bukan RM3 juta dibelanjakan, mungkin sampai RM5 juta ditunaikan di Terengganu kerana menurut Forte yang mengurus kedatangan pelancong dari Singapura, Thailand, Myanmar dan Filipina bahawa pelancong berjumlah 3,000 orang itu kelas pertengahan, bukannya ‘budget tours’.
(Forte ialah konsortium yang menguruskan perhotelan pelancong)
Difahamkan mereka bertolak dari Kuala Lumpur dengan 86 buah bas yang pastinya akan menyemarakkan Bandar Kuala Terengganu khususnya dan beberapa lokasi lawatan mereka seperti ke Tasik Kenyir dan Kuala Berang (Batu Bersurat di Kampung Buloh).
(Bayangkan 86 buah bas berderet-deret menurunkan pelancong luar negara ke bandar Kuala Terengganu, bukan lagi fantasi tetapi realiti. Syabas dan tahniah kepada penggerak Visit Beautiful Terengganu).
Mereka dijangka menginap di seluruh hotel yang terdapat di Kuala Terengganu iaitu 16 hotel dan resort yang dikenalpasti yang mungkin hampir 2,000 bilik serentak diperlukan.
Sebagai menyambut kehadiran mereka, suatu majlis makan negeri kepada pelancong yang akan dihoskan sendiri Menteri Besar akan diadakan pada sebelah malam, 2 Januari 2017 di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu.
Mereka juga akan dibawa ke Pulau Warisan, Pasar Kedai Payang, Kampung Cina, pasar malam pada 3 Januari dan ke Tasik Kenyir serta Batu Bersurat pada 4 Januari (Rabu) sebelum berlepas balik ke Kuala Lumpur sebelah petang.
Di Kuala Berang, para pelancong akan menyaksikan pertunjukan kebudayaan masyarakat tempatan.
Kita yakin dan percaya akan berterusannya pelancong memilih Terengganu sebagai destinasi pelancongan mereka.
Apa yang penting sambutlah kehadiran mereka dengan budaya ramah tamah sesuai dengan slogan Negeri Cantik Budaya Menarik.
Para peniaga juga perlu melayan pelanggan mereka dengan cara yang terbaik, harga yang berpatutan- dan ukirlah senyuman setiap masa. Senyum selalu.
Tahniah diucapkan kepada kerajaan negeri di atas permulaan TMT 2017 yang amat baik ini.


Tag: