• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Membangun Seimbang, Fizikal Dan Modal Insan


KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Kerajaan Terengganu mahu membangunkan negeri yang seimbang sama ada dari segi pembangunan fizikal mahupun modal insan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ianya menepati visi dan misi dalam pembangunan desa di negeri tesebut.

“Program-program pembangunan desa yang dirancang ini untuk dibangunkan secara fizikal dan dalam masa yang sama  kita membangunkan manusia.

“Dalam konteks negeri Terengganu, sebahagian besar daripada penduduk kita sebenarnya tinggal di kawasan luar bandar,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat bersama Jabatan Perhilitan di Wisma Darul Iman, kelmarin.

Menurutnya, peruntukan pembangunan daripada kerajaan disalurkan kepada rakyat melalui wakil rakyat di kawasan masing-masing.

“Dalam konteks kerajaan negeri, peruntukan pembangunan yang disalurkan melalui wakil rakyat ini adalah apa yang kita gunakan untuk kemudahan asas penduduk yang cuba diselesaikan secara berperingkat,” ujarnya.

Justeru itu, Dr Azman berkata, kerajaan juga akan bekerjasama dengan agensi lain untuk meminimakan masalah sosial di kalangan masyarakat.

“Kerajaan negeri melalui pelbagai agensi sama ada Majlis Pengurusan Komuniti  Kampung (MPKK) ataupun Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-Mits) bertindak membangunkan masyarakat selaras dengan slogan Terengganu iaitu sebuah negeri yang bukan setakat kita nak maju, tetapi dalam masa yang sama kita nak berkat dan sejahtera,” katanya.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu, Rahmah Illias dan Timbalannya, Ahmad Kamsul Alias.


Tag: