• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MIASA Clubhouse Terengganu Tawar Khidmat Sokongan Mental

KUALA TERENGGANU, 16 Mei – Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa) Clubhouse Terengganu kini dibuka kepada orang ramai yang bergelut dengan isu kesihatan mental di wilayah Pantai Timur Malaysia.

Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa), Anita Abu Bakar berkata, cawangan baharu yang pertama di luar kawasan Lembah Klang itu menyediakan dan memperluaskan ketersediaan perkhidmatan sokongan yang komprehensif dan holistik bagi sokongan dan perkhidmatan yang diperlukan bagi perjuangan kesihatan mental mereka.

“MIASA Clubhouse Terengganu bukan sahaja akan menyediakan pendekatan konvensional untuk rawatan kesihatan mental seperti perkhidmatan psikologi dan kaunseling, tetapi juga rangkaian perkhidmatan holistik yang menekankan aspek rohani sebagai komponen penting dalam proses penyembuhan dan pemerkasaan ‘peer’ (individu yang bergelut dengan isu kesihatan mental) itu sendiri. 

“Secara khususnya MIASA Clubhouse Terengganu akan menawarkan perkhidmatan psikologi dan kaunseling, perkhidmatan sokongan kepada ‘peer’ / ‘peer support’, kumpulan sokongan, pendekatan berasaskan seni seperti kelas seni, kelas drama dan pertuturan, kelas tarian ekspresif, serta terapi rohani seperti terapi Tadabbur,” katanya dalam satu kenyataan. 

Perasmian itu disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspa¬nita) Cawangan Terengganu, Toh Puan Nor Zaini Abdul Latiff.

Tambahnya lagi,  MIASA Clubhouse Terengganu akan memperluaskan sokongan dengan bertindak sebagai tempat perlindungan sementara untuk ‘peer’ yang memerlukan sokongan segera dan memberikan respons krisis di lapangan.

“Sebagai contoh, ketika dalam berhadapan dengan kes yang berkemungkinan bunuh diri, dengan matlamat jangka panjang untuk MIASA Clubhouse Terengganu akhirnya beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu,”katanya.

Untuk maklumat lanjut tentang MIASA Clubhouse Terengganu, sila hubungi MIASA di +603- 79321409 (HQ)/ +6096674409 (Terengganu) atau layari laman web mereka di www.miasa.org.my

Sementara itu, Anita juga berkata kira-kira 100,000 individu di negara ini menghadapi masalah berkaitan mental pasca pandemik Covid-19 akibat pelbagai faktor tekanan hidup.

Menurutnya, mereka kebanyakannya mengalami kemurungan, depresi, kecelaruan bipolar dan skizofrenia.

“Pada tahun lalu, lebih 33,000 individu datang ke Miasa untuk mendapatkan khidmat sokongan mental, emosi dan rohani.

“Kebanyakan mereka mengalami kesan berkaitan mental selepas menghadapi masalah kewangan berikutan hilang pendapatan, dibuang kerja dan kehilangan orang tersayang,” ujar beliau.