• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

Mini Bike Tarikan Baru


Oleh: Ahmad Fadhilah


KUALA TERENGGANU, 29 Mac – Motosikal kecil atau juga dikenali `mini bike' dengan enjin berkapasiti 50cc yang ditunggang oleh golongan cilik kini mula menjadi tarikan baharu di sekitar Kuala Terengganu dan Marang termasuk di Kampung Kepong, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, sukan ekstrim itu kian menarik minat ramai terutama anak muda apabila teruja menyaksikan kelibat anak cilik dari umur 6 hingga 12 tahun beraksi di litar.

“Saya dimaklumkan bahawa ada yang datang dari jauh iaitu dari Kemaman semata-mata untuk mengikuti aktiviti ini, tahniah dan syabas saya ucapkan.

“Pada masa yang sama, saya amat menyokong program seperti ini  supaya terus diadakan kerana ianya dapat mencungkil bakat serta memberi pendedahan awal kepada anak cilik dalam dunia permotoran,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup serta penyampaian hadiah dalam Pertandingan Pelumbaan Tertutup Mini Bikes, di Kampung Kepong, baru-baru ini.

Muhammad Hakim (kiri), Presiden Kelab, Ahmad Bustaman (tengah) dan Muhammad Izham.


Pertandingan anjuran Pemuda PAS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kepong dengan kerjasama Kelab Permotoran Alur Limbat Bike Pocket Team (A.L Bike).

Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat mengalu-alukan A.L Bike menggunakan dataran Kampung Kepong itu bagi mengadakan sesi latihan kepada pelumba-pelumba cilik dan bakat-bakat baharu.

“Tidak mustahil, di sinilah titik permulaan untuk menghasilkan ramai penunggang hebat dan bakal menjadi pelumba terbaik dunia, " ujarnya lagi.

A.L Bike ditubuhkan pada 2014 berpangkalan di Kampung Alur Limbat. Kelab itu sudah melahirkan dua orang pelumba ke peringkat Cup Prix iaitu, Muhammad Hakim Danish Ramli, 12 dari Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu dan Muhammad Izham Hanafi Amran, 15 dari Kampung Padang Mengkuang Bukit Payong, Marang.
Sementara itu,  Presiden kelab Ahmad Bustaman Rais, 49, berharap kerajaan negeri dapat mengetengahkan sukan motosikal kecil ke peringkat lebih tinggi.

"Saya juga berharap mendapat sokongan daripada ADUN Alur Limbat untuk ke peringkat lebih tinggi kerana kami satu-satunya kelab motosikal kecil di Marang, khususnya di DUN Alur Limbat ini,"katanya.



Tag: