• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Minta KBS Selenggara Peralatan Gym 1Malaysia- Rozi

Rozi bersama peserta menyertai senamrobik  pada Sambutan Hari Sukan Negara peringkat Terengganu, di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia diminta menyelenggara peralatan senaman, termasuk dumbbell dan basikal senaman  yang ditempatkan di Gym 1 Malaysia di setiap daerah di Terengganu.

Pengerusi Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’Rozi Mamat, berkata,  kebanyakan peralatan di pusat senaman rakyat itu didapati sudah  rosak dan perlu dibaik pulih segera untuk kegunaan orang ramai.

“Berdasarkan rekod, hampir 10,000 ahli dan peminat sukan  menggunakan peralatan berkenaan pada setiap bulan.

“Kebanyakan masyarakat sudah  sedar mengenai kepentingan menjaga kesihatan, oleh itu saya berharap KBS memandang serius perkara ini,”katanya .

Beliau berkata demikian  selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara peringkat Terengganu, di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini.

Hampir 7,000 peserta hadir untuk mengikuti 20 acara yang disediakan penganjur, termasuk, OKU Fun Walk, Fun Run, Terengganu Run Challenge, Beach Soccer, Senamrobik dan kayuhan basikal.

Manakala di seluruh Terengganu lebih 220 ,000  penyertaan melibatkan, jabatan kerajaan, agensi swasta, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan  Sekolah  berjaya dicatatkan.


Sambutan yang bertujuan mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’ itu diadakan secara serentak diseluruh negara pada hari ini.

Tag: