• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 6 November – Kerjasama PAS dalam Muafakat Nasional (MN) tidak hanya terhad dengan UMNO sahaja kerana ia melanggar matlamat asal gabungan terbabit.

Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS juga tidak boleh dihalang untuk berkerjasama dengan parti melayu Islam lain dan bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Dengan sebab itu juga, PAS tidak boleh dipaksa melanggar muafakat ini, contohnya PAS dengan UMNO sahaja, bahkan kita lebih fleksibel sehingga kita bersetuju mendaftarkan Perikatan Nasional.

“Ini dengan melibatkan parti-parti bukan Islam yang dan termasuk rakan-rakan di Malaysia timur sehingga kita telah mencapai kejayaan sehingga mengambil alih kerajaan pusat, ini mesti dipertahankan.

“Seperti dalam piagam MN, penyertaan tidak terikat kepada dua parti ini sahaja, kita turut menjemput BERSATU untuk sama-sama menyertai sama dalam MN,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas ucapan dasar dan merasmikan Muktamar Tahunan PAS di Duyung Marina Resort, di sini hari ini.

Sementara itu, apabila disoal berkenaan kemungkinan berlaku pertembungan antara Barisan Nasional (BN) di Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka, beliau menjawab, pihaknya berpegang kepada asas bekerjasama.

“Bila ada parti yang tidak ingin bekerjasama, terpulang kepada mereka. Bila sebut kerjasama mestilah berlaku pembahagian kerusi antara parti-parti bukan sahaja MN termasuklah PN,” jelasnya.