• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

‘Mobile Pump’ Bantu Atasi Masalah Petani



Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 11 Mac- Penggunaan ‘mobile pump’ merupakan langkah penyelesaikan jangka pendek dalam membantu petani mengatasi masalah kekeringan air di kawasan penanaman padi masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, langkah itu digunapakai berikutan cuaca panas yang berpanjangan menyebabkan  tekanan air dari tali air tidak mampu untuk mengalir masuk ke dalam sawah. 

“InsyaAllah, kita akan gunakan “mobile pump’ untuk ambil air daripada saluran air buang dan akan disalurkan ke sawah padi.

“Dengan jumlah kapasiti air yang ada itu, ianya mampu disalurkan sebagai langkah segera supaya padi yang hampir mengeluarkan buah tidak rosak disebabkan oleh kekeringan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan penanaman padi Kampung Oh, Jabi bersama kakitangan IADA Ketara, semalam.

Katanya, kawasan berkenaan antara tempat yang terkesan ekoran cuaca panas yang berpanjangan sejak beberapa minggu lalu.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, fenomena kawasan padi kering yang berlaku di beberapa tempat merupakan faktor semulajadi.

“Walaupun faktor semulajadi, kita cuba mengambil apa-apa langkah yang perlu untuk membantu para petani,” ujarnya.

Tag: