• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MPD Sita Peralatan Penjaja Abai Notis Peringatan

Oleh: Naim Fadhilah

DUNGUN, 1 Februari - Majlis Perbandaran Dungun (MPD) baru-baru ini menyita peralatan yang ditinggalkan beberapa penjaja yang mengabaikan notis peringatan di Sura Jetty, di sini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Mohd Huzairil Nizam berkata,  pihaknya terpaksa mengambil tindakan tersebut berikutan terdapat penjaja yang tidak menguruskan peralatan yang digunakan untuk berniaga dengan baik.

"Apa yang kami sita sebenarnya merupakan barang tinggalan mereka sebaik sahaja selesai berniaga kerana tidak dijaga dengan betul.

"Pihak MPD tidak menghalang mereka untuk berniaga namun perlu mematuhi peraturan dan memastikan kebersihan kerana kawasan tersebut merupakan kawasan pengunjung selain daripada laluan untuk memasuki masjid," ujarnya ketika ditemui pemberita.

Katanya, menyita peralatan merupakan langkah terakhir yang dilakukan pihak MPD demi mendidik dan memberi pengajaran kepada para penjaja untuk terus mematuhi peraturan.

"Sebelum ini, kita telah beri peringatan kepada penjaja supaya membawa pulang semua barang perniagaan sebaik sahaja selesai berniaga," ujarnya.


Tag: