• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

MPKK Disaran Lebih ‘Up To Date'


Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 7 Ogos - Kerajaan Negeri menyarankan agar pemilik tanah haram segera mengisi borang jadual 1 untuk permohonan tanah di Pejabat Tanah Daerah sebelum 31 Disember tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata ia bagi membolehkan permohonan mereka diluluskan kerajaan.

Justeru katanya, pemimpin Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu memainkan peranan mereka untuk menggerakkan pemilik tanah haram segera berbuat demikian.


"Sekiranya ada rakyat kita yang memerintah tanah haram, tolong sampaikan maklumat ini kepada mereka supaya mengisi borang jadual 1 di Pejabat Tanah Daerah sebelum 31 Disember tahun depan.

"Pemohon juga boleh memohon kerajaan menaikkan tempoh pajakan dari tempoh 60 tahun kepada 99 tahun.

"Ia akan diproses secara berkala untuk menyelesaikan isu-isu tanah haram terutama kategori pertanian,’’ jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Gotong- royong Keceriaan MPKK Apal Hilir, di sini, petang kelmarin.

Seterusnya Dr Azman menyarankan agar mereka terbabit lebih peka terhadap sebarang perubahan maklumat baru supaya mereka segara menyampaikannya kepada rakyat.


"Ini supaya penyusunan gerakerja di peringkat bawah sebagai penyampai maklumat dan jentera Kerajaan Negeri berjalan lancar.

"Setakat ini sebarang arahan yang dikeluarkan kepada MPKK dapat dilakukan dengan baik. Semua ini adalah hasil yang dilakukan secara kolektif dan segala kekurangan kita baiki bersama,’’ ujarnya.


Tag: