• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

MPKK DUN Bukit Besi Antara Terawal Dapat Geran KPLB




Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 18 Jun- Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi menjadi salah satu kawasan terawal mendapat geran dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Pegawai Penyelaras DUN Berkenaan, Ghazali Sulaiman berkata, ia telah disahkan oleh Pejabat Daerah Dungun yang mana 23 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dari DUN Bukit Besi telah bertungkus lumus menyiapkan profail kampung  bagi menyiapkan geran berkenaan demi kemajuan dan kesejahteraan kepada kampung.

"Dari 23 MPKK yang kita ada, 17 telah diluluskan dan  layak menerima geran berkenaan sebanyak RM10,000.

"Ini menjadi petanda positif bahawa MPKK yang dilantik benar-benar serius berusaha bagi mendapatkan peruntukan berkenaan untuk membawa kesejahteraan kepada penduduk," jelasnya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita, pada Majlis Pelancaran Projek Geran KPLB, Gotong Royong Komuniti 2019, di Perkarangan Masjid Kampung Talong, baru-baru ini.

Turut hadir pada program berkenaan ialah Penghulu Mukim Besol, Yulande Che Mohd, Pengerusi MPKK Kampung Talong, Yusoff Hassan, Setiausaha MPKK Talong, Muhammar Fauzi Abdullah.

Menurut Ghazali, geran berkenaan amat penting untuk disiapkan kerana peruntukan sebanyak RM 10,000 dapat membantu MPKK merencanakan projek berskala besar yang mampu memberi impak positif kepada komuniti didalam sesebuah kampung.

"Kerana itu saya cadangkan buatlah sesuatu yang memberi kesan jangka panjang dan mampu memberi impak yang positif kepada penduduk setempat," ujarnya.

Sehubungan itu, mengulas mengenai projek gotong royong  yang bakal dilakukan oleh MPKK Kampung Talong, setiausahanya, Muhammad Fauzi Abdullah berkata kertas kerjanya diterima disebabkan projek yang bakal dijayakannya itu akan memberi kesan jangka masa yang panjang.

"Dengan peruntukan yang diberikan melalui KPLB itu, kita akan melakukan beberapa perkara disamping memupuk ukhwah dan semangat kerjasama melalui gotong royong iaitu kita akan membuat papan tanda jalan dan lorong didalam kampung.

" Jalan dan lorong berkenaan kita akan namakan dengan nama bunga-bungaan, juga akan meletakkan tanda-tanda peringatan kepada Allah dengan memaparkan zikir-zikir," jelasnya.



Tag: