• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Muaz Force Sumbang Zakat Kepada 300 Penerima

Foto oleh - M. Shukri
KUALA NERUS, 20  Mei - Syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan, Muaz Force Sdn. Bhd memperuntukan sebanyak RM75,000 bagi meringankan bebanan 300 golongan kurang berkemampuan menyambut Ramadan dan persiapan menyambut Aidilfitri.

Pengerusinya, Dato’ Seri Zakaria Abdul Razak berkata, seramai 300 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf, ibu atau bapa tunggal, pekerja am (tukang cuci) menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan baucer pembelian pakaian bernilai RM250 setiap seorang.

Katanya, syarikatnya sentiasa mengambil langkah murni menyantuni golongan memerlukan dan menghulurkan bantuan sewajarnya terutama pada musim perayaan.

“Sumbangan zakat ini bukan saja dapat meringankan beban tapi dalam masa yang sama mengeratkan hubungan serta mewujudkan keharmonian antara semua pihak yang terlibat.

“Paling utama ialah kita berkongsi kegembiraan dengan mereka dan membantu menceriakan serta memeriahkan sambutan Aidilfitri,” ujarnya.

Zakaria
Beliau berkata demikian di Majlis Sumbangan Zakat Ramadan 2019 Muaz Force Sdn. Bhd, di Mydin Mall Gong Badak, di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah & Kesejahteraan dan Pentadbiran negeri, Dato'  Tengku Hassan Tengku Omar.

Turut hadir, Pengurus Cawangan Mydin Mall Pantai Timur, Ruthapathy Naidu.


Sementara itu, Tengku Hassan berkata komitmen dan sumbangan pihak Muaz Force perlu menjadi contoh kepada syarikat lain untuk melakukan kerja amal dan membantu golongan yang memerlukan termasuk pekerja mereka.

“Saya ucap tahniah kepada syarikat Muaz Force kerana meraikan pekerja dan golongan yang memerlukan bantuan dan ia merupakan contoh yang baik kepada mereka yang di luar sana bagi melakukan perkara baik di bulan Ramadan ini melalui sumbangan zakat kepada yang berhak,”katanya.

Tag: