• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Nafuzi, Faisal Halim Angkat Kaki?

KUALA TERENGGANU, 15 September – Pengendali Terengganu Football Club (TFC), Nafuzi Zain menyatakan hasrat beliau untuk berhijrah ke kelab lain bagi musim hadapan.

Walau bagaimanapun, fokusnya buat masa sekarang adalah menamatkan aksi berbaki Liga Super dalam misi layak ke saingan Piala AFC dan layak ke Perlawanan Akhir Piala Malaysia.

“Saya tidak menolak kemungkinan besar bahawa mungkin musim ini merupakan yang terakhir bagi saya mengendali TFC.

“Saya kira ini masa yang sesuai untuk mengembangkan lagi karier saya sebagai seorang jurulatih bola sepak di Malaysia,” katanya selepas aksi Perlawanan Liga Super menentang Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi.

Aksi tersebut berakhir dengan TFC berjaya mendapatkan tiga mata berharga dengan jaringan 3-0 melalui satu gol daripada Faisal Halim serta Tcheche Kipree (2).

“Kemenangan TFC malam ini (semalam) merupakan kemenangan yang penting, tiga jaringan itu pula menjadi satu bonus buat pasukan.

“Saya agak risau sebenarnya untuk ‘game’ menentang Penang FC kerana moral pemain buat masa sekarang agak jatuh selepas kalah dengan Johor Darul Ta’zim ketika final Piala FA,” tambahnya.

Mengulas lanjut berkenaan status beliau sebagai ketua jurulatih TFC, Nafuzi bertekad akan memberikan yang terbaik sehingga tamat aksi musim ini.

“Saya akan tetap memberikan yang terbaik untuk menamatkan aksi musim ini sebagai ‘Top 3’ dalam liga dan layak ke final Piala Malaysia.

“Saya sayang Terengganu, dengan sokongan luar biasa daripada penyokong. Keluarga saya pun suka tinggal di sini (Terengganu),” katanya lagi.

Nafuzi Zain memulakan karier sebagai pembantu jurulatih T-Team sejak 2016 dan tiga tahun dilantik sebagai ketua pengendali pasukan TFC.

Terdahulu, penyerang lincah negara, Faisal Halim turut menyatakan bahawa antara syaratnya kekal bersama TFC bagi musim hadapan adalah Nafuzi masih ketua jurulatih.


Tag: