• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Nafuzi Tekad Tajamkan Jentera Serangan

KUALA TERENGGANU, 27 Julai – Pengendali Terengganu Football Club (Terengganu FC), Nafuzi Zain yakin untuk tajamkan jentera serangannya menjelang perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

“Perlawanan ‘away’ sebelum ini walaupun kita kalah, dari segi permainan kita lagi baik cuma ketumpulan penyudah gol dan kesilapan mudah yang perlu dibaiki.

"Saya tahu kualiti pemain yang kita ada, jadi kita akan fokus untuk bagi aksi yang terbaik nanti," katanya selepas aksi suku akhir Piala FA tempoh hari.

Susulan kejayaan menundukan Kuching City FC 4-1 dalam saingan suku akhir Piala FA, Sabtu lalu, dua gol berharga dijaringkan penyerang import, Tcheche Kipre selepas menggantikan Kpah Sherman pada minit ke-60.

"Dua gol yang dijaringkan Kipre membuatkan pemain kita bangkit dan berlakunya perubahan permainan apabila tahap keyakinan bermain meningkat hingga tamat permainan," ujarnya.

Terengganu FC menang bergaya 4-1 dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) sekali gus melayakkan mereka melangkah ke separuh akhir menentang Selangor FC pada 6 Ogos nanti.

Skuad Terengganu FC bermain di hadapan lebih 20,000 penyokong tanpa kehadiran tonggak utama, Habib Haroon dan dijangka kembali diturunkan menjelang aksi malam ini.

 


Tag: