• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 14 September – “Kalau kita inginkan sesuatu, kita kena tolong orang," begitulah antara rahsia seorang pelajar cemerlang Che Ku Muhammad Burhamikhail Che Ku Adnan dalam memperoleh kejayaan dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2020 dan tajaan pendidikan daripada PETRONAS.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu yang turut memperolehi keputusan 8A 1B+ itu berpegang kepada pesanan Nabi Muhammad SAW yang menyebut Allah akan bantu kita selagi mana kita membantu orang lain.

“Saya seronok melihat rakan-rakan gembira, justeru saya tidak pernah menolak apabila mana-mana rakan yang meminta pertolongan dari saya,” kata anak kepada seorang buruh binaan itu.

Apabila ditanya apakah rahsia kejayaannya, Mikhail percaya masa yang berkualiti lebih penting berbanding dengan kuantiti masa yang diperuntukan dalam mengulangkaji pelajaran.

“Oleh itu, saya memperuntukkan masa dinihari untuk menelaah selain melazimkan ibadah qiamullail 30 minit sebelum masuk waktu subuh,” katanya lagi ketika ditemubual pemberita.

Hasilnya, Mikhail melayakkannya diri melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi PETRONAS di dalam jurusan Sains Komputer.

Lebih membanggakan apabila kos lima tahun pengajian Mikhail bakal dibiayai sepenuhnya oleh syarikat petroleum negara itu selepas berjaya melepasi ujian kelayakan Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP).

Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, Mikhail adalah diantara 43 anak Terengganu cemerlang yang memperoleh lebih RM 11 juta tajaan di bawah PESP.

“Semenjak 1975, lebih daripada 37,000 rakyat Malaysia telah mendapat manfaat daripada PESP dengan tajaan pendidikan bernilai lebih dari RM3.3 bilion.

“Mereka yang terpilih, bakal melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di Universiti Teknologi PETRONAS dan universiti tempatan lain selain daripada universiti-universiti terkemuka di Australia, Kanada, China, Jepun, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Sebagai salah satu usaha menyokong agenda kelestarian dan tenaga lebih bersih daripada PETRONAS, penajaan tahun ini diperluas untuk merangkumi disiplin ilmu seperti Biokimia, Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran & Perdagangan) dan juga Sains Alam Sekitar,” jelasnya.

Menurut Che Ahmad Tarmizi, PETRONAS menerima lebih 10,000 pemohon di seluruh Malaysia yang kemudian disenarai pendek dan dinilai berdasarkan kepada kemahiran berfikir secara kritis, kepimpinan dan inovasi sebagai tambahan nilai kepada pencapaian akademik mereka.