• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Nama Besar Sertai PN Diumumkan Awal Jun Ini - Ahmad Samsuri

MARANG, 15 Mei- Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan nama-nama besar yang akan menyertai Perikatan Nasional (PN) akan diumumkan awal Jun Ini. 

Beliau bagaimanapun tidak mengiyakan mahupun menidakkan ketika ditanya adakah nama-nama besar tersebut termasuk Tun M.

"Saya tidak boleh nak kata ya atau tidak...tapi Insya-Allah dalam tempoh yang terdekat ini kita akan ada pengisytiharan beramai-ramai yang akan menyertai PAS, PN dan Bersatu.

"Insya-Allah pada awal bulan Jun kita akan buat pengumuman di Lembah Klang, Selangor. Ada daripada parti UMNO dan lain-lain pun ada dan yang ramainya daripada UMNO, " ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis YAB Menteri Besar Turun Padang Dan Jamuan Rakyat Sempena Penyerahan Suratan Hak Milik Tanah Dan Notis 5A Tapak Kediaman Dan Tapak Pertanian Dun Pengkalan Berangan, di Dewan sivik Wakaf Tapai di sini, hari ini.

Sementara itu katanya, rundingan akhir agihan kerusi antara parti komponen dalam PN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka dibuat hujung bulan ini.

"Insya-Allah pada minggu depan, dalam tempoh 10 hari lagi di Kuala Lumpur, perjumpaan ini untuk memuktamadkan di peringkat Jawatankuasa Perunding, lepas tu nama-nama kerusi-kerusi ini akan dibawa ke Majlis Presiden untuk keputusan muktamad.

"Setakat ini perbincangan di peringkat perundingan kerusi ni sangat harmoni walaupun kita dengar di pihak sebelah sana macam-macam perkara yang timbul," ujarnya.