• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

NGO Sebagai 'Pemegang Taruh' Pembangunan

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 30 November - Peranan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) penting dalam sesebuah Negeri dan perlu dilihat sebagai pemegang taruh (stake holder) pelengkap membantu jentera kerajaan.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Haji Yahaya Ali berkata, pembangunan dalam negeri bukan hanya bergantung kepada pegawai-pegawai kerajaan tetapi NGO juga mempunyai ruang dan peranan yang cukup besar dalam sektor tersebut.

"NGO perlu ada perancangan yang rapi bagi mengambil tanggungjawab ini.

"Peranan NGO juga penting untuk mengubah minda rakyat supaya tidak terlalu bergantung kepada kerajaan seratus peratus. Sekiranya mahu melihat negeri ini terus maju kehadapan," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam kunjungan lawatan bersama NGO kerja ke Pejabat Daerah Marang, pada semalam.

Katanya, tujuan lawatan ini bagi memberi peluang kepada khususnya di Daerah Marang untuk mengikuti sama perkembangan pembangunan di daerah ini. 

Tambah Dato' Yahaya, Pada masa yang sama, pihak NGO mahu mendapat kepastian apakah peranan yang boleh mereka mainkan.

"Saya juga berharap Daerah Marang akan menjadi daerah termaju pada suatu masa nanti dengan adanya pelan induk pembangunan, menyediakan segala prasarana lebih awal untuk menarik pelabur.

"Fokus kepada bidang utama yang ingin dimajukan dan dikenali dan mempunyai anjakan paradigma dari segi pemikiran dan kesungguhan membuat perancangan rapi," jelas beliau.

Sementara itu, Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat sewaktu sesi dialog memberi jaminan peluang sentiasa terbuka kepada pihak NGO untuk bekerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di daerah ini bagi melaksanakan program-program kebajikan, kemasyarakatan bahkan dalam bidang ekonomi.


Tag: