• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Nilai Pelaburan Di Kemaman Paling Tinggi


KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Kerajaan negeri berjaya menarik pelaburan berjumlah RM801,546,578 sejak Jun 2018 sehingga kini yang membuktikan Terengganu terus kekal kukuh sebagai sebuah destinasi pilihan bagi pelaburan asing dan domestik dalam sektor perindustrian.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, nilai pelaburan tersebut melibatkan hampir keseluruhan daerah di negeri ini.

“Nilai pelaburan di Kemaman paling tinggi iaitu sebanyak RM661,729,087.

“Manakala, Dungun (RM35,797,732), Marang (RM4,424,165), Kuala Terengganu (RM15,486,520), Hulu Terengganu (RM49,391,647), Kuala Nerus (RM980,000) dan Besut (RM3,373,427),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Roslee Daud (BN-Bukit Besi) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tengku Hassan berkata, pihaknya yakin dengan adanya kemasukan pelabur dari luar, ianya mampu memudahkan usaha kerajaan menunaikan janji manifesto menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam masa 4 tahun.

“Peluang pekerjaan dalam sektor industri sahaja sehingga 2019 adalah sebanyak 7,057, kita unjurkan pada 2024, jumlah pekerjaan dalam sektor ini yang kita dapat janakan sebanyak 16,750 orang,” ujarnya.


Tag: