• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

‘Open Air’ Meriahkan Suasana Iftar Perdana Kampung Apal


Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 18 Mei – Saban tahun setiap kali bulan Ramadan menjadi kelaziman warga Kampung Apal, Jabi mengadakan majlis berbuka puasa beramai-ramai bersama penduduk sekitar secara ‘open air’.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, suasana kemeriahan sebegitu kebiasaannya dapat dirasai di kampung-kampung dan ia membuka ruang untuk merapatkan tali persaudaraan sesama komuniti setempat.

“Dalam kesibukan menjalankan urusan kerja seharian, terkadang kita tidak berkesempatan untuk saling bertanya khabar antara satu sama lain. Dengan adanya program sebegini, kita dapat duduk bersama mengukuhkan ukhuwah sesama kita.


“Alhamdulillah, dengan suasana yang positif sebeginilah yang kita ingin ciptakan untuk membentuk sebuah kampung, daerah, negeri malah negara  yang aman dari berpecah-belah tanpa mengira agama, warna kulit dan politik,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika menghadiri Majlis Iftar Perdana di Perkarangan Surau Haji Omar, Apal di sini, semalam.

Menurut Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ibrahim Jusoh, juadah berbuka puasa sebanyak empat kawah gulai lembu disediakan dengan memasak secara gotong-royong oleh Ahli Jawatankuasa MPKK, cawangan dan penduduk setempat.

“Juadah berbuka ini disediakan secara bergotog-royong beramai-ramai. Kita libatkan semua tanpa mengira yang tua, muda, muslimin, muslimat, pemuda dan Ameerah yang berperanan di posisi masing-masing. Ini jelas menunjukkan dalam sesebuah organisasi, semua mempunyai peranan penting pada tahap dan daya mereka.

“Terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir memeriahkan suasana iftar ‘open air’ ini. Alhamdulillah, semua berjalan lancar walaupun guruh berbunyi berbanding tahun lepas hujan turun sewaktu hampir masuk waktu berbuka. Ianya kenangan. InsyaAllah akan diteruskan untuk Ramadan akan datang,” katanya.

Tag: