• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Ops Motosikal: Polis Hulu Terengganu Keluarkan 116 Saman

HULU TERENGGANU, 3 Jun - Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, mengeluarkan 116 notis saman atas pelbagai kesalahan, pada Ops Motosikal yang dijalankan di kawasan Kuala Telemong dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hasmerra Hassan, berkata saman tersebut dikeluarkan terhadap 70 penunggang motosikal melibatkan pelbagai kesalahan.

"Daripada keseluruhan saman yang dikeluarkan, sebanyak 40 saman membabitkan kesalahan tidak memakai topi keledar.

“Antara kesalahan lain yang dilakukan penunggang motosikal ialah tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan kesalahan teknikal," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memaklumkan, dalam operasi bermula dari jam 5.00 petang hingga 9.00 malam itu, diketuai Ketua BSPT IPD Hulu Terengganu, Inspektor Zainon Abidin Ismail itu menyasarkan keselamatan penunggang motosikal.

Selain itu Hasmerra berkata, pihaknya akan melaksanakan operasi motosikal dari semasa ke semasa bagi membenteras kegiatan samseng jalanan, lumba haram dan mat rempit.