• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Padah Buat Aksi 'Wheelie', Dua Remaja Ditahan

HULU TERENGGANU, 27 April - Tindakan dua remaja lelaki berusia 14 dan 15 tahun yang melakukan aksi 'wheelie' membawa padah apabila ditahan dalam operasi OP Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Hasmerra Hassan berkata, polis berjaya mengesan sebuah motosikal  ditunggang bersama seorang pembonceng melakukan aksi mengangkat tayar hadapan (wheelie) pada jarak kira-kira 50 meter.

"Suspek berjaya ditahan di bahu jalan hadapan Empangan Jenagor, Kuala Berang kira-kira jam 6.15 petang dan dibawa ke  Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

"Suspek juga telah dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk lakukan ujian air kencing dan hasil saringan terhadap suspek adalah negatif," katanya dalam satu kenyataan disini hari ini.

Katanya, dua remaja terbabit disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana melakukan aksi mengangkat tayar hadapan, yang mana aksi itu amat merbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Tambah Hasmerra lagi, 
sebanyak tujuh saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terhadap penunggang motosikal dan sebuah motosikal turut disita.

"Antara kesalahan yang berjaya dikesan antaranya melibatkan lesen kenderaan motor (LKM) yang telah tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, menunggang motosikal bawah 16 tahun, aksesori tidak sempurna dan tidak memakai topi keledar,"ujar beliau.